Sejarah Awal Gersang_(kumpulan_muzik)

Kumpulan Gersang pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1981 di Johor Bahru, Johor oleh Abdul Samad bin Mian (Samad, kemudian bersama Lefthanded) dan dianggotai oleh beliau sendiri sebagai pemain gitar utama dan dibarisi oleh 4 pemuzik lain iaitu Najib Yaakub atau Ajib (gitar), Man Sagap (vokal), Yem Popeye (bass) dan Razak Kerajaan (dram). Mereka kemudiannya menyertai pertandingan Juara-Juara Rock 2 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada tahun 1984 dan meraih tempat ketiga sementara tempat pertama & kedua dimenangi oleh kumpulan Burnmarks & kumpulan Hurricane juga dari Johor Bahru.[1]

Pada tahun 1986, Gersang telah menyertai pertandingan Rock Festival Malaysia dan mereka dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Pada kali ini, Gersang telah merekrut dua anggota baharu dari kumpulan Fire Starter iaitu Hamzah bin Mohd Taib (Kid - gitar) dan Abdul Rahman bin Osman (Man Bai - vokal).

Setelah berakhirnya pertandingan tersebut, Gersang telah dihampiri oleh Rahim Othman yang juga salah seorang juri untuk pertandingan tersebut. Rahim kemudiannya menawarkan kontrak kepada Gersang setelah melihat potensi dan bakat yang ada pada mereka, seterusnya mengajak mereka untuk segera berhijrah ke Kuala Lumpur.

Namun disebabkan mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai keluarga, sebahagian besar anggotanya tidak dapat memenuhi lamaran daripada komposer terkenal itu. Kid yang menginginkan kumpulan ini menjadi artis rakaman telah meminta restu daripada rakan-rakannya untuk membawa nama Gersang dalam industri muzik tanahair. Untuk memenuhi lamaran tersebut, maka Kid telah mengajak Man Bai dan seorang rakannya yang berasal dari Batu Pahat iaitu Hairozaman bin Sain atau dikenali sebagai Man Greng untuk menjadi pemain bass Gersang.

Pada masa yang sama, Rodzane bin Haji Mohamed atau Jojet yang berasal dari Ampang telah bergiat aktif sebagai pemuzik bebas setelah meninggalkan kumpulan asalnya, Wings. Bakat luar biasanya itu telah menarik minat Ito Blues Gang & Yem Bai (pemain bass kumpulan BPR). Ito & Yem Bai yang mendapat tahu kumpulan Gersang memerlukan pemain dram, terus sahaja membawa Jojet untuk berjumpa dengan Man Bai, Kid & Man Greng. Setelah mengadakan perbincangan, Jojet akhirnya bersetuju untuk menjadi pemain dram Gersang dan bermulalah karier mereka berempat sebagai artis rakaman.

Rujukan

WikiPedia: Gersang_(kumpulan_muzik) http://duniarockmalaysia.blogspot.com/2011/05/kala... http://melayurock.blogspot.com/2007/07/gersang-ger... //scholar.google.com/scholar?q=%22Gersang%22+kumpu... //www.google.com/search?&q=%22Gersang%22+kumpulan+... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Gersa... //www.google.com/search?q=%22Gersang%22+kumpulan+m... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Gersang%22+... http://www.bharian.com.my/articles/Masihakuterasa/... http://ecentral.my/services/sprinterfriendly.asp?f... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...